Perbuatan Meminum Khamar Akhirnya Berjaya Dihentikan Melalui 3 Fasa Penurunan Ayat Al-Quran!

Sayyidi Shaarani
2 min readFeb 1, 2024

--

Gambar oleh Julia Volk

Kepada saudara dan saudari yang sedang meniti jalan dakwah, semoga terus istiqomah dan semakin berkobar-kobar keinginan untuk mendalami ilmu agama.

Ayuh menaik taraf strategi dakwah kita dengan menyertakan elemen hikmah kedalamnya. Insya-Allah, ia akan lebih mudah untuk diterima oleh masyarakat.

Abu Hurairah RA berkata, khamar diharamkan di dalam tiga fasa, iaitu:

  1. Fasa pertama; (QS. Al-Baqarah [2]:219)
  2. Fasa kedua; (QS. An-Nisa’ [4]:43)
  3. Fasa ketiga; (QS. Al-Ma’idah [5]:90)

Ayat fasa pertama turun ketika Rasulullah SAW sampai di Madinah, dan para sahabat Baginda SAW masih lagi meminum arak dan memakan harta daripada hasil perjudian, iaitu;

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”

(QS. 2:219)

Selepas turunnya ayat ini, mereka tetap meneruskan aktiviti meminum khamar kerana menurut mereka, ia tidak diharamkan walaupun terdapat dosa yang besar pada keduanya.

Sehinggalah pada suatu hari, seorang lelaki Muhajirin yang sedang mengimamkan solat dalam keadaan mabuk, tergelincir lidahnya semasa sedang membaca surah al-Kafirun.

Bacaan tersebut menjadi; “Katakanlah wahai orang kafir, aku tidak menyembah kepada apa yang kamu sembah dan ‘kami menyembah apa yang kamu sembah’.

Maka, turunlah ayat fasa kedua yang lebih keras daripada ayat fasa pertama, iaitu;

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.”

(QS. 4:43)

Apabila ayat ini turun, perbuatan meminum khamar sudah menjadi semakin terhad kerana mereka dilarang berada dalam keadaan mabuk sewaktu mengerjakan solat.

Namun, mereka masih ada jarak masa antara Isya’ sehingga Subuh, dan antara Subuh sehingga Zohor, kerana waktu itu cukup panjang untuk mereka meminum khamar dan kembali pulih daripada kemabukan.

Akhirnya, turunlah ayat fasa ketiga yang lebih keras daripada ayat fasa kedua, iaitu;

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(QS. 5:90)

Ayat inilah yang menjelaskan pengharaman arak secara keseluruhannya. Dan akhirnya, ruang-ruang yang dibuka untuk meminum khamar itu dapat ditutup melalui proses tarbiah secara bertahap disebalik aturan penurunan ayat-ayat al-Quran ini.

Begitulah juga perjuangan dakwah dalam menyantuni ragam manusia yang pelbagai. Perjuangan memerlukan masa, strategi, dan juga hikmah agar pesanan yang ingin disampaikan dapat digarap sepenuhnya.

Oleh itu, berpesanlah dengan kebenaran dan kesabaran.

Wallahu a’lam.

Semoga bermanfaat!

Rujukan

  1. Ahmad bin Hanbal dalam Musnad 17 / 308, hadis no. 8266
  2. al-Tirmizi, 10 / 288, hadis no. 2952
  3. al-Hakim dalam al-Mustadrak ‘ala al-Sahihaini, 4 / 159, hadis no. 7222

Penulisan ini asalnya ditulis pada tarikh 12 Jamadilawal 1445 / 25 November 2023.

--

--

No responses yet