Reviu Buku: Menulis Dari Hati Biar Sampai Ke Hati
Menulis dari hati biar sampai ke hati!
Alhamdulillah, seusai pembelajaran di Sekolah Penulisan Ramadan 2022 yang lalu, saya telah direzekikan untuk menelusuri ilmu yang telah dibukukan oleh 3 orang para penulis ini.
Menurut pandangan saya, buku yang mempunyai 325 helai muka surat dengan tema berwarna hitam, putih, dan hijau ini amatlah padat dengan ilmu yang berkaitan seni, adab, dan hikmah di dalam penulisan.
“Penggunaan grafik yang pelbagai, formula-formula di dalam seni penulisan yang tersusun, jelas, dan mudah difahami, serta soalan-soalan relevan yang bersifat interaktif.”
(SRS, 2022)
Saya sebagai seorang penulis pemula amat menghargai nilai-nilai tambahan sebegini.
Walaupun dikarang oleh 3 orang penulis yang berwibawa di dalam bidang keilmuan yang tersendiri, trio ini tetap menghasilkan karya yang seimbang catuannya. Masya-Allah!
Seolah-olah membayar kadar tol yang murah untuk menaiki lebuhraya besar yang selamat untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju dengan tenang dan selesa.
Dari aspek ilmu duniawi dan ukhrawi, buku ini insya-Allah mampu melentur akal dan hati yang selari di dalam penulisan.
Perihal ini sudah tentu sangat bernilai kerana ianya mampu memberi kesan kepada cara fikir dan gerak kerja yang bakal diimplementasikan oleh para pembacanya kelak.
Teknik-teknik mencungkil idea dan mengolahnya menjadi sebuah penulisan yang bermanfaat juga telah dirungkaikan oleh para penulis dengan struktur yang teratur.
Terlalu banyaklah isi-isi penting dan cara memanfaatkannya yang telah dimodulkan untuk santapan para pembaca yang ingin belajar menulis. Saya sangat mengesyorkan buku ini kepada mereka yang turut mahu bermula menulis.
Saya akhiri ulasan kerdil saya dengan 3 buah ayat pujangga yang saya nukilkan daripada penulisan para penulis di dalam buku ini;
“Seperti tidak ada angin yang menyebelahi mana-mana kapal yang tiada pelabuhan yang hendak dituju, maka begitulah apabila kita tidak punya tujuan yang jelas untuk menulis.”
(Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, 2022)
“Secara umumnya, hikmah ini bukan bermakna berserah, bukan bersifat lemah atau keras, tetapi hikmah adalah pada ketepatan. Implikasi akhir pada hikmah adalah menyampaikan sesuatu dengan tepat, menepati apa yang ingin disampaikan, mengungkapkan pada kadar yang tepat, dengan pendekatan yang tepat, dan ke arah sasaran yang tepat.”
(Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, 2022)
“Kebebasan dan kekuatan orang melayu adalah kemampuan membuat keputusan dan mencipta peluang. Ini adalah kesan daripada budaya baca dan kalam yang mengakar.”
(Tuan Zamri Mohamad, 2022)
Semoga bermanfaat!
Penulisan ini asalnya ditulis pada tarikh 14 Rabiulakhir 1444 / 9 November 2022.