Toleransi Dalam Agama Islam: Memahami Perbezaan Pendapat dan Mencari Persamaan Nilai

Sayyidi Shaarani
7 min readAug 15, 2023

--

Muka depan buku “Nabi Muhammad SAW Dalam Al-Quran”.

Alhamdulillah!

Buku yang bertajuk “Nabi Muhammad SAW Dalam Al-Quran” ini adalah sangat baik. Syukur, kerana ianya tetap mampu mengisi rohani dan menyegarkan minda buat penuntut ilmu yang tidak mahir berbahasa Arab seperti saya.

Buku ini telah diterjemahkan oleh Akademi Tursina dan diterbitkan oleh Rabbani Books.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada tuan editor, Abdul Rauf Baharuddin yang sudah tentu memainkan peranan yang penting di dalam usaha untuk membukukan ilmu ini.

Antara yang menarik minat saya tentang buku ini adalah kerana, ianya merupakan hasil terjemahan dan suntingan koleksi video syarahan yang disampaikan oleh Asy-Syahid Dr Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti di Youtube dengan judul, “Muhammad Sallah Alayh wa Sallam fi al-Quran al-Karim”.

Menurut saya, ini adalah salah satu cara yang pintar dalam memanfaatkan teknologi dengan lebih baik. Saya kongsikan juga pautan video berkenaan di bahagian “Rujukan” kepada mereka yang mahir berbahasa Arab.

Bersisakan bulan Rabi’ul Awwal yang masih berbaki beberapa hari lagi, ingin saya kongsikan beberapa buah fikiran yang terilham melalui pembacaan buku ini dan sedikit sebanyak rujukan tambahan sepanjang tempoh bacaan.

1. Kullu (كُلُّ)

Saya nukilkan sepotong hadis di bawah ini yang sering menjadi perdebatan di kalangan umat Islam.

“Dan sejelek-jelek perkara adalah hal-hal yang baru, setiap hal yang baru adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan di dalam neraka.”

(HR. Nasa’i:1560)

Di bahagian “Rujukan”, saya telah menukilkan sebuah pautan video penuh kuliah Prof Madya Dr Abdul Manan Mohamad di Surau Haji Abdullah Soleh, Dungun, pada 19 Rabi’ul Awwal 1444H yang lalu.

Beliau telah menerangkan tentang pandangan-pandangan mengenai perkataan “kullu” yang bermaksud “semua/setiap/seluruh” itu.

Terdapat dua pandangan dalam memahami maksud “kullu” di dalam hadis ini di kalangan ulama hadis.

Yang pertama, bermaksud “menyeluruh” dan yang kedua pula, bermaksud “sebilangan besar.”

Umumnya, pendapat yang pertama sudah tentu lebih jelas kerana maksud “kullu” sendiri adalah semua/setiap/seluruh dengan berdalilkan ayat;

(QS. Ali ‘Imran [3]:185)

Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan kematian kerana hanya Allah SWT yang Al-Hayy dan Al-Qayyum seperti yang diajarkan kepada kita di dalam Ayatul Kursi.

Namun, pendapat kedua yang bermaksud “sebilangan besar” juga adalah benar berdasarkan dalilnya di dalam Al-Quran;

(QS. Al-Kahfi [18]: 79)

Saya yakin ramai yang sudah mengetahui kisah di dalam Surah Al-Kahfi ini. Akhirnya, hanya perahu yang di dalam keadaan baik sahaja yang dirampas dan bukanlah setiap perahu.

Di bawah ini, saya nukilkan pula maksud “kullu” di dalam sebuah hadis yang lain.

“Setiap anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.”

(HR. Ibn Majah:4392)

Maksud “kullu” di dalam hadis di atas juga adalah lebih tepat sekiranya ianya bermaksud sebilangan kerana Nabi Muhammad SAW juga adalah daripada keturunan Nabi Adam a.s., namun Baginda SAW adalah maksum.

2. Nabi Muhammad SAW adalah maksum

Kepada mereka yang tidak mempercayai Nabi Muhammad SAW adalah maksum, cuba anda semak dahulu dalilnya tentang perintah-perintah yang sering berulang di dalam Al-Quran tentang kepentingan mentaati Rasulullah SAW secara mutlak.

Sudah tentu akan tersingkap makna-makna bahawa Rasulullah SAW terpelihara daripada dosa.

a) (QS. An-Nisa’ [4]: 80)

Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).

b) QS. Al-Ma’idah [5]: 92)

Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.

c) (QS. Muhammad [47]: 33)

Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!

d) (QS. An-Nisa’ [4]: 65)

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.

e) (QS. Al-Ahzab [33]: 21)

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

f) (QS. Al-Isra’ [17]: 15)

Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).

Kemudian, kita rujuk pula sebab turunnya ayat (QS. Al-Mujadalah [58]: 1–4) ini;

Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
Orang-orang yang “ziharkan” isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
Dan orang-orang yang “ziharkan” isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Sebelum diwahyukan ayat ini kepada Baginda SAW, Beliau SAW telah berijtihad terlebih dahulu kepada pertanyaan Khaulah, iaitu seorang sahabat wanita dan isteri kepada Aus bin Samit.

Oleh itu, Jika Rasulullah SAW berijtihad pada sesuatu perkara, keputusan ijtihad itu dianggap betul, sahih, dan menjadi hukum Allah SWT kepada kita.

Tidak patut kita samakan ijtihad Rasulullah SAW seperti seorang mujtahid ketika berijtihad kerana seorang mujtahid mungkin ada ijtihad yang tepat dan ada juga yang tidak tepat.

Tidak boleh kita mengatakan bahawa Rasulullah SAW mungkin betul atau salah. Ini berdasarkan dalilnya pada ayat (QS. An-Nisa’ [4]: 64) ini;

Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Perihal ijtihad Rasulullah SAW telah dianalogikan oleh Asy-Syahid Dr Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti di dalam buku ini dan ianya sangat mudah untuk difahami.

Tiada yang serupa dengan Allah SWT, dan ini hanyalah analogi untuk memudahkan kefahaman — seorang tentera hendaklah mendengar arahan daripada seorang tentera yang berpangkat lebih tinggi.

Tidak boleh seorang tentera mengatakan boleh jadi ketua aku ini salah dan aku mahu bertanya kepada ketua yang lebih tinggi terlebih dahulu. Ini tidak boleh dilakukan dan tindakan akan diambil sekiranya melanggar protokol ketenteraan ini.

Seorang tentera perlu mematuhi arahan ketuanya. Dan jika terdapat kesalahan, maka ketuanya yang akan merujuk kepada orang atasan.

Oleh itu, ijtihad Baginda SAW adalah sentiasa benar. Perkara dan urusan antara Allah SWT dengan Rasul-Nya SAW adalah perkara yang tidak berhak untuk kita masuk campur.

Semua yang dikatakan Baginda SAW adalah benar dan wajib kita patuhi. Cukuplah kalimah syahadah menjadi dalilnya.

3. Keluasan dalam agama Islam

Nombor “9” apabila dihadapkan dihadapan dua orang yang saling bertentangan, akan mengeluarkan dua pandangan yang sudah tentu akan berlainan. Seorangnya akan melihat nombor “9” manakala yang dihadapannya pula akan melihat nombor “6”

Yang menjadi penyesalan adalah ketika mereka memutuskan untuk saling menyalahkan. Ini bukanlah perkara yang bijak kerana kedua-dua pandangan adalah benar.

Adalah lebih wajar untuk dilakukan dengan menukar sudut pandang masing-masing dan melihat secara luar daripada posisi asal. Tambahan pula, umat Islam perlu sedar dengan peranan “orang ketiga” yang umumnya bersifat batu api.

Contohnya seperti Surah Sab’atul Matsani yang merupakan rukun solat yang ke-4 daripada 13 rukun yang wajib dilaksanakan di dalam solat kita. Ia juga adalah salah satu rukun Qauli yang wajib dibaca ketika sedang menunaikan solat.

Namun demikian, kita lihat pula bagaimana bacaan Basmalah di dalam Surah Al-Fatihah juga mempunyai perbezaan pendapat diantara mazhab Imam Malik r.a. dan anak muridnya sendiri, iaitu Imam Syafie r.a. sedangkan Surah Al-Fatihah itu mempunyai 7 ayat; (QS. Al-Hijr’ [15]: 87)

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.

dan mempunyai respon dari Allah SWT di dalam Hadis Qudsi; (Hadis Riwayat Muslim, Sahih Muslim, Jilid 2, No. Hadis 807:9)

Abu Hurairah r.a. berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,

Allah berfirman, ‘Aku membahagikan solat antara Aku dengan hamba-Ku, dan hamba-Ku mendapatkan sesuatu yang dia minta.

Apabila seorang hamba berkata, ‘Segala puji bagi Allah Tuhan seluruh alam’ maka Allah berkata, ‘Hamba-Ku memuji-Ku.’

Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang’ Allah berkata, ‘Hamba-Ku memuji-Ku.’

Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Pemilik hari pembalasan’ Allah berkata, ‘Hamba-Ku memuji-Ku.’

Selanjutnya Dia berfirman, ‘Hamba-Ku menyerahkan urusannya kepada-Ku.’

Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan’ Allah berkata, ‘Ini adalah antara Aku dengan hamba-Ku. Dan hamba-Ku mendapatkan sesuatu yang dia minta’

Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepadanya; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat’ Allah berkata, ‘Ini untuk hamba-Ku, dan hamba-Ku mendapatkan apa yang dia minta.’ ”

Namun, Imam Malik r.a. berpendapat bahawa makruh jika dibaca kuat manakala Imam Syafie r.a. pula berpendapat bahawa sunat dibaca kuat. Keduanya mempunyai dalil dan sebab yang kukuh serta tidak bercanggah dengan syariat untuk menyokong pendapat masing-masing.

Mustahil ulama-ulama mazhab tidak memahami isi Al-Quran. Sekiranya kita merasakan kita lebih berilmu daripada ulama-ulama yang terdahulu, mungkin kita sebenarnya harus merenungkan terlebih dahulu, adakah kita juga telah menginfakkan hidup di dunia ini untuk menuntut ilmu?

Marilah kita selesaikan isu dalaman dalam perbezaan pandangan sebegini sekarang, agar umat yang dihadapan kelak dapat menumpukan tumpuan dan misi selanjutnya dengan lebih luas, lebih baik, dan lebih berkualiti.

Wallahu a’lam.

Rujukan

الإمام الشهيد البوطي. (2019, November 02). (محمد صلى الله عليه وسلم في القرآن الكريم) حلقات منتقاة من برنامج الدراسات القرآنية التي ظل الإمام الشهيد البوطي ينثر من خلالها درراً علمية ومعانٍ وجدانية على مدى ربع قرن من الزمن. YouTube. [YouTube Playlist] https://www.youtube.com/watch?v=GnyD9MDzDE8

Prof Madya Dr Abdul Manam. (2022, Oktober 15). KULIAH MAGHRIB JEMPUTAN — Perkara yang berkaitan dengan sambutan Maulidur Rasul. Facebook. [Facebook Live]. https://fb.watch/ggecOu2iBC

Gambar dan Terjemahan Ayat Al-Quran Per Kata. https://tafsir.learn-quran.co

Gambar dan Terjemahan Ayat Al-Quran. https://surah.my

Penulisan ini asalnya ditulis pada tarikh 24 Rabiulawal 1444 / 20 Oktober 2022.

--

--

No responses yet